New Delhi, targetindo.com – Sebuah helikopter milik tentera udara India yang dinaiki tiga anak kapal dilaporkan hilang di kawasan berhampiran sempadan China, ketika menyertai satu misi menyelamatkan mangsa banjir.
Pegawai pertahanan yang memberitahu AFP berkata, pesawat berkenaan terputus hubungan ketika berada di Arunachal Pradesh yang terletak di timur laut India ketika cuaca buruk.
“Advanced Light Helicopter (ALH) berlepas dari pangkalan Tezpur di Assam kira-kira jam empat petang,” katanya pegawai itu yang enggan dikenali.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri India, Kiren Rijiju menerusi akaun Twitternya, berkata usaha mengesan helikopter tentera udara India sedang giat dijalankan. Beliau berkata, helikopter itu membawa barang bantuan kepada penduduk terjejas akibat banjir di timur laut negara itu.
Arunachal Pradesh dan beberapa negeri lain dilanda hujan lebat yang menyebabkan tanah runtuh dan banjir. China dan India kini terbabit dalam pertikaian sempadan di kawasan timur laut pergunungan kedua-dua negara dan sering menuduh satu sama lain menghantar tentera masuk di kawasan sempadan secara haram. – AFP. **
Discussion about this post